KUALA LUMPUR: Malaysia akan membuka semula kedutaan di Iraq yang ditutup sejak dua dekad lalu, sekali gus membawa lembaran baharu dalam hubungan dua hala dengan negara Teluk itu.

Dalam kenyataannya, Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, ia juga akan membuka lebih banyak peluang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang untuk kedua-dua buah negara.


Menerusi pertemuan dengan beberapa pemimpin Iraq, Malaysia mengulangi komitmen untuk meluaskan kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor terutamanya ekonomi, pendidikan,  hubungan udara dan pelancongan.

"Malaysia juga akan meneroka semua laluan untuk meningkatkan jumlah perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara termasuk meningkatkan eksport perabot, produk farmaseutikal, produk elektrik dan elektronik serta komoditi ke Iraq.

"Dalam bidang pelaburan, kerajaan Iraq telah mengalu-alukan kehadiran syarikat-syarikat dari Malaysia untuk melaksanakan projek-projek infrastruktur bagi pembangunan semula Iraq.

"Turut dibincangkan dalam pertemuan itu ialah status pengoperasian Petronas di Iraq serta peluang yang lebih meluas dalam sektor tenaga yang boleh diterokai," katanya dalam kenyataan tersebut.

Lawatan tersebut dilihat sebagai satu permulaan untuk Malaysia berperanan sebagai negara yang proaktif dalam hubungan antarabangsa terutamanya di Asia Barat.

Ia juga merupakan misi diplomasi aktif yang diasaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membolehkan Malaysia kembali ke persada antarabangsa dalam menghadapi dan mendepani isu global.